ISTANBUL, 18 MEI: Global Sumud Flotilla (GSF) pada lewat Ahad mengumumkan bahawa ia mengesan “kapal yang tidak dikenali” berhampiran armada flotila itu ketika menuju ke Semenanjung Gaza bagi memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu.
Anadolu Ajansi melaporkan flotila bantuan kemanusiaan itu menerusi platform X memaklumkan bahawa “kapal tentera laut dan bot laju dikesan di hadapan, belakang serta di satu sisi armada berkenaan.”
Dalam kenyataan berasingan yang dikongsi oleh pusat krisis GSF, penganjur berkata terdapat “pergerakan dron tidak dikenali dan elemen ketenteraan” di sekitar konvoi berkenaan.
Perkembangan itu berlaku selepas flotila berkenaan mengumumkan ketibaannya di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean.
Misi Musim Bunga Global Sumud Flotilla 2026, yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza serta menghantar bantuan kemanusiaan penting, telah dipintas tentera Israel di luar pantai Crete antara 29 dan 30 April.
Flotila bantuan itu diserang pada 30 April berhampiran Crete, kira-kira 600 batu nautika dari destinasinya.
Kapal pertama GSF yang membawa bantuan kemanusiaan berlepas dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama memulakan pelayaran dari pulau Sicily, Itali pada 26 April, dengan matlamat memecahkan sekatan Israel yang telah berlarutan selama bertahun-tahun.
Israel mengenakan sekatan yang melumpuhkan Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Tentera Israel melancarkan serangan kejam selama dua tahun ke atas Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar di wilayah yang dikepung itu.







