Aktivis flotilla Gaza dibawa ke lapangan terbang Crete, sedia dihantar pulang

1 Mei 2026, 12:34 PM
Aktivis flotilla Gaza dibawa ke lapangan terbang Crete, sedia dihantar pulang

ATHENS (Greece), 1 MEI: Aktivis daripada flotilla bantuan kemanusiaan ke Gaza yang diserang oleh Israel minggu ini, sedang dipindahkan ke sebuah lapangan terbang di Crete untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan pada Jumaat.

Seramai 178 aktivis dari pelbagai negara, termasuk Greece, telah dibawa ke Kampung Atherinolakkos di Lasithi, timur Crete, dan dari sana mereka akan dibawa dengan bas ke Lapangan Terbang Heraklion, lapor penyiar SKAI yang memetik sumber tempatan.

Dari lapangan terbang berkenaan, para aktivis berkenaan akan dihantar pulang ke negara masing-masing, katanya.

Flotilla bantuan kemanusiaan Sumud Global telah diserang pada Khamis berhampiran pulau milik Greece itu, kira-kira 600 batu nautika dari destinasi mereka, wilayah Gaza yang musnah akibat sekatan.

Kumpulan kapal pertama flotilla itu yang membawa bantuan kemanusiaan, belayar dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama berlepas dari Pulau Sicily, Itali pada 26 April, dengan matlamat untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza yang telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.

Tentera Israel melancarkan serangan kejam selama dua tahun ke atas Gaza pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain dan mengakibatkan kemusnahan besar-besaran di seluruh wilayah yang terkepung itu.

Terdahulu, Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pihaknya masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung status keselamatan 175 aktivis GSF 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia, selepas 38 jam diculik oleh rejim Zionis di perairan antarabangsa.

10 rakyat Malaysia yang diculik semalam ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).

Turut terlibat Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).

Misi GSF 2.0 ialah gabungan maritim antarabangsa dan gerakan mobilisasi global yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza, sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.