SHAH ALAM, 18 MEI: Krisis gangguan rantaian bekalan global dijangka memberi kesan lebih besar kepada industri tempatan mulai Jun dan Julai ini apabila banyak syarikat mula berdepan kekurangan bahan mentah untuk meneruskan operasi.
Penasihat Ekonomi Kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Nurhisham Hussein berkata, kebanyakan perniagaan ketika ini masih bergantung kepada stok lama, namun bekalan tersebut dijangka habis digunakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
"Banyak perniagaan ketika ini masih bergantung kepada stok lama yang sedia ada. Namun menjelang pertengahan tahun, stok itu dijangka habis digunakan sedangkan bekalan baharu masih belum tiba," katanya menerusi temu bual dalam audio siar BFM.
Beliau berkata, keadaan semasa amat mencabar kerana walaupun sumber bekalan alternatif boleh diperoleh, proses penghantaran masih berdepan kelewatan dan tidak mampu menampung permintaan industri dalam tempoh segera.
Menurutnya, krisis berkenaan berlaku dalam beberapa gelombang yang dijangka semakin dirasai syarikat tempatan dalam tempoh terdekat.
Katanya, gelombang pertama membabitkan kekurangan bekalan bahan api serta kenaikan harga tenaga yang memberi kesan langsung kepada kos operasi dan logistik.
Gelombang kedua pula berlaku apabila industri mula kehabisan bahan asas atau feedstock untuk sektor petrokimia yang penting kepada pelbagai industri pembuatan.
Nurhisham berkata, hasil perbincangan dengan syarikat-syarikat besar mendapati kebanyakan mereka hanya mempunyai stok bahan mentah mencukupi untuk sekitar dua bulan bermula pertengahan Mac lalu.

"Selepas tempoh itu syarikat perlu mendapatkan bekalan baharu, namun keadaan rantaian bekalan global yang masih terganggu menyukarkan proses tersebut," katanya.
Beliau turut merujuk kepada tinjauan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pada pertengahan April lalu yang menunjukkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mula berdepan tekanan lebih besar berbanding syarikat besar.
Menurutnya, sebahagian PKS hanya mempunyai baki bekalan untuk tempoh satu hingga dua minggu, sekali gus menjadikan kumpulan itu lebih terdedah kepada gangguan bekalan dan peningkatan kos operasi.
Justeru, beliau menjangkakan kesan ekonomi sebenar akibat kekurangan bekalan akan mula dirasai Jun ini apabila lebih banyak kilang dan syarikat pengeluaran berisiko menghentikan operasi sementara akibat kekurangan bahan mentah.
Menurutnya, situasi itu turut boleh menyebabkan pengurangan kerja lebih masa, pengurangan syif pekerja serta penurunan produktiviti secara berperingkat.
"Ia bukan sesuatu yang berlaku secara mendadak, tetapi proses perlahan yang akhirnya memberi tekanan kepada pekerjaan, pendapatan pekerja dan pertumbuhan ekonomi keseluruhan," katanya.
Mengulas isu bekalan minyak global, Nurhisham berkata tempoh pemulihan dijangka mengambil masa panjang walaupun konflik di Asia Barat berakhir dalam masa terdekat.
Katanya, sebahagian besar pengeluaran minyak di rantau itu tidak dapat dipulihkan segera kerana operasi medan minyak memerlukan masa sebelum kembali berfungsi sepenuhnya.
"Walaupun telaga minyak dibuka semula, pengeluaran tidak boleh terus ditingkatkan secara mendadak kerana tekanan dalam sistem perlu dibina secara perlahan dan terkawal.
"Keseluruhan proses daripada pembukaan semula operasi sehingga bekalan kembali stabil boleh mengambil masa sekitar enam bulan dan itu belum termasuk tempoh penghantaran minyak ke pasaran antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, kesesakan trafik perkapalan di Selat Hormuz turut menjadi cabaran besar kepada pemulihan rantaian bekalan tenaga global apabila ribuan kapal yang terkandas memerlukan masa tambahan untuk disusun semula.
"Pemulihan sebenarnya belum bermula kerana perang masih berlanjutan. Berdasarkan unjuran semasa, bekalan minyak mungkin hanya kembali normal menjelang hujung tahun ini atau mungkin berlanjutan sehingga 2027," katanya.








