Banjir kilat: MBDK digesa naik taraf saliran taman lama

17 Mei 2026, 1:00 AM
Banjir kilat: MBDK digesa naik taraf saliran taman lama
Banjir kilat: MBDK digesa naik taraf saliran taman lama

SHAH ALAM, 17 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) digesa menaik taraf sistem saliran di kawasan hotspot banjir terutama taman perumahan lama bagi mengurangkan kejadian banjir kilat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid berkata banyak kawasan perumahan lama yang dibina lebih 10 hingga 20 tahun lalu masih menggunakan sistem saliran lama yang tidak lagi mampu menampung peningkatan aliran air susulan pembangunan pesat di kawasan sekitar.

Menurut beliau, antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk mendalam dan melebarkan longkang terutama di kawasan kerap dilanda banjir sehingga menjejaskan penduduk.

“Perkara itu perlu diberi perhatian serius terutama di kawasan yang sering mengalami banjir kilat sehingga air memasuki rumah penduduk dan menyebabkan kerosakan harta benda.

“Perumahan lama ini menggunakan sistem saliran lama dan ada yang perlu dinaik taraf termasuk didalamkan serta dilebarkan," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata MBDK juga perlu menjalankan kajian berperingkat di kawasan hotspot banjir selain menilai semula keupayaan sistem saliran di taman perumahan lama yang tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

“Sudah tentu majlis mempunyai rekod projek-projek lama ini. Jadi mereka perlu melihat taman yang paling lama terlebih dahulu dan menilai keadaan sistem salirannya, khususnya di kawasan hotspot banjir,” ujarnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid. Foto Facebook Mariam Abdul Rashid

Beliau berkata MBDK perlu menjalankan kajian berperingkat di kawasan hotspot banjir bagi menilai semula keupayaan sistem saliran sedia ada, khususnya di taman perumahan lama.

Menurutnya, penelitian juga perlu dibuat terhadap rekod projek pembangunan lama termasuk kawasan perumahan yang diluluskan sebelum sistem Pusat Setempat (OSC) diperkenalkan pada 2009.

“Sudah tentu majlis mempunyai rekod projek-projek lama ini. Jadi mereka perlu melihat taman yang paling lama terlebih dahulu dan menilai keadaan sistem salirannya, khususnya di kawasan hotspot banjir,” ujarnya.

Mariam berkata antara kawasan yang masih berdepan masalah banjir kilat termasuk sekitar Pekan Meru, Taman Meru Jaya, Taman Meru Indah, Aman Perdana serta beberapa lokasi berhampiran projek pembangunan baharu.

Menurutnya, terdapat kawasan yang sebelum ini tidak pernah banjir namun mula terjejas selepas pembangunan baharu dilaksanakan berhampiran taman perumahan lama.

“Bila tanah projek baharu ditambak lebih tinggi, kawasan taman lama menjadi lebih rendah dan menyebabkan air mudah melimpah ke kawasan perumahan.

“Sebab itu setiap projek pembangunan perlu dipastikan mempunyai sistem kolam tadahan dan saliran yang baik supaya tidak memberi kesan kepada kawasan berhampiran,” tambahnya lagi.

Beliau turut menggesa agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) memperkemas penyelarasan penyelenggaraan longkang dan saliran terutama di kawasan yang mempunyai pertindihan bidang kuasa.

“Dalam masa terdekat, pejabat ADN bersama pemimpin masyarakat akan menjemput semua agensi berkaitan bagi membincangkan penyelesaian tuntas melibatkan pelan jangka pendek, pertengahan dan panjang untuk menangani isu banjir serta sistem saliran di kawasan terjejas,” katanya.

Keadaan beberapa rumah di Jalan Meru Setia 7 yang dilanda banjir kilat pada 8 Mei 2026. Foto Facebook JPKK Kampung Meru

Jelasnya, terdapat longkang di beberapa kawasan di Meru yang tidak diselenggara secara berkala berikutan ketidakjelasan tanggungjawab antara agensi sehingga kerja pembersihan hanya dilakukan sekali sahaja.

“Agensi berkaitan perlu mempunyai jadual pembersihan berkala dan pemantauan lebih konsisten kerana ada longkang tersumbat dipenuhi sampah hingga menyebabkan aliran air tidak lancar.

“Kalau hujan lebat dan saliran tidak diselenggara dengan baik, akhirnya penduduk yang terpaksa menanggung kerugian apabila rumah dinaiki air,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau berkata kesedaran masyarakat terhadap aspek kebersihan dan pembuangan sampah juga perlu dipertingkat menerusi kempen melibatkan pelbagai pihak termasuk ketua kampung, ahli majlis dan golongan belia.

“Insya-Allah di peringkat Meru, program seumpama itu akan turut diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.