SHAH ALAM, 16 MEI: Kerajaan Negeri memperluas pelaksanaan Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS) 2026 termasuk menaikkan had umur penerima daripada 18 tahun kepada bawah 60 tahun.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata inisiatif menerusi Yayasan Anak Istimewa Selangor (YANIS) itu bertujuan memastikan lebih ramai golongan orang kurang upaya (OKU) menerima manfaat secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Menurutnya, pelaksanaan BRAIS 2026 turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan signifikan selaras dengan fokus Kerajaan Negeri untuk membina ekosistem sokongan yang lebih inklusif.
"Peluasan had umur ini membolehkan golongan dewasa OKU turut mendapat akses kepada bantuan peralatan, perubatan dan sokongan terapi yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran BRAIS 2026 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Selain itu, BRAIS 2026 turut memperkenalkan kategori baharu membabitkan bantuan fasiliti tandas kediaman mesra OKU RM1,500 serta bantuan ubat-ubatan, makanan tambahan dan keperluan khas bernilai RM1,200.
"Penambahan ini bertujuan memastikan kemudahan fasiliti dan keperluan asas kesihatan golongan OKU ini di kediaman mereka lebih terjaga dan selesa,"katanya.
Dalam masa sama, proses permohonan BRAIS 2026 kini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian bagi memudahkan urusan ibu bapa dan penjaga selain mempercepatkan proses kelulusan.
Selain kategori baharu, Kerajaan Negeri turut mengekalkan bantuan sedia ada termasuk yuran pusat terapi sehingga RM1,200, bantuan peralatan khas sehingga RM3,000 dan yuran persekolahan pendidikan khas RM120.
"Bagi menjamin kualiti perkhidmatan, Kerajaan Negeri turut menguatkuasakan kriteria ketat menerusi syarat tier 1 dan tier 2 terhadap pusat terapi yang menjadi rakan kerjasama YANIS termasuk keperluan pendaftaran sah dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di premis," ujarnya.
Permohonan BRAIS 2026 dibuka bermula 1 hingga 22 Jun ini secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi YANIS.

Pemohon perlu terdiri daripada warganegara Malaysia, pengundi Selangor dan mempunyai kad OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kerajaan Negeri menyeru semua penjaga yang layak untuk mengambil peluang ini demi memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup insan istimewa di Selangor terus terpelihara,"katanya.
Mengulas bantuan tandas mesra OKU, beliau berkata bantuan itu bertujuan membantu pengubahsuaian asas seperti pemasangan besi pemegang tangan, tandas duduk dan kemudahan akses lebih selamat di kediaman.
"Kemudahan RM1,500 saya kira mungkin lebih bersepadan kepada handrail (besi pemegang tangan) dan mungkin ubah suai yang sesuai," katanya.
Anfaal memaklumkan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM800,000 bagi pelaksanaan BRAIS 2026 selain merancang pengumpulan dana tambahan menerusi majlis kutipan dana yang akan diadakan pada 26 September depan.











