Majlis apresiasi rai 150 pelajar cemerlang SPM dari Shah Alam

16 Mei 2026, 9:31 AM
Majlis apresiasi rai 150 pelajar cemerlang SPM dari Shah Alam
Majlis apresiasi rai 150 pelajar cemerlang SPM dari Shah Alam

SHAH ALAM, 16 MEI: Seramai 150 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada enam sekolah menengah sekitar Parlimen Shah Alam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga diraikan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2025 DUN Batu Tiga.

Majlis berlangsung di Sungai Renggam Convention Center itu dianjurkan sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof berkata pencapaian pelajar tahun ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari segi tahap kelulusan keseluruhan serta jumlah calon memperoleh keputusan A.

“Pencapaian pelajar menunjukkan peningkatan memberangsangkan, baik dari segi keseluruhan tahap kelulusan mahupun bilangan murid yang memperoleh keputusan ‘A’,” katanya ditemui Media Selangor hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rasyid, selain pemimpin komuniti serta keluarga pelajar yang hadir memberi sokongan kepada penerima anugerah.

Menurut Azli, beberapa sekolah mencatat lonjakan prestasi ketara termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 yang menunjukkan peningkatan keputusan dalam peperiksaan SPM tahun lalu.

“Pelajar yang menerima anugerah hari ini terdiri daripada pelbagai aliran,” katanya lagi.

Beliau berkata kejayaan pelajar bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, malah turut melibatkan pembentukan sahsiah dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

Dalam ucapan pembukaannya, Azli berkata perjalanan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan fasa penting yang bakal mencorakkan kewibawaan dan membentuk kepimpinan masa depan.

“Kita bukan sahaja mahu melahirkan pelajar yang cemerlang di atas kertas, tetapi juga generasi muda yang mempunyai nilai integriti, empati dan keberanian untuk memimpin masyarakat dengan baik,” katanya.

Beliau berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus berjaya dalam bidang akademik dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat pada masa depan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.