SHAH ALAM, 16 MEI: Suami isteri direman bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai dipukul di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, Bachok, Kota Bharu bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun dikeluarkan selama tujuh hari sehingga Jumaat depan, manakala isterinya berusia 27 tahun direman lima hari sehingga Rabu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, lapor Harian Metro.
Penahanan reman bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suami isteri terbabit tiba di mahkamah kira-kira jam 8.45 pagi dengan memakai pakaian lokap dan bergari sambil diiringi anggota polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Padang Salim pada jam 4.30 petang semalam.
Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suami isteri ini adalah rakan kepada mangsa dan kita akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Pada 15 April lalu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, yang merupakan OKU pembelajaran dipercayai maut akibat dipukul.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dilaporkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah malam ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.








