SHAH ALAM, 15 MEI: Keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap nasib rakyat diteruskan apabila beliau menghulurkan sumbangan serta kotak makanan kepada pesakit kanser payudara tahap empat, Juliana Nasruddin di Balok Makmur, Kuantan, Pahang.
Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi menerusi siri jelajah Ziarah MADANI Indera Mahkota.
Menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsikan Anwar hari ini, Ahmad Farhan berkata bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban Juliana yang kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan bersama keluarganya.
“Beliau tabah membesarkan lima anak bersama suami yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan demi menyara keluarga.
“Dalam keadaan diuji dengan masalah kesihatan, keluarga ini juga berdepan bil tertunggak dan saya mengambil inisiatif memberikan sumbangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan mewakili Perdana Menteri selain mendoakan agar Juliana terus diberikan kekuatan, dipermudah segala urusan serta dikurniakan kesembuhan.
Ahmad Farhan turut berharap keluarga berkenaan sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.








