SHAH ALAM, 14 MEI: Sistem kiraan 15 mata diperkenalkan secara rasmi dalam pertandingan antarabangsa bermula Januari 2027 memberi kelebihan kepada pemain yang mengutamakan corak agresif.
Pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun berkata sistem berkenaan memerlukan pemain tampil dengan permainan lebih pantas selain mengutamakan kelajuan dan kekuatan dalam gelanggang, lapor Berita Harian.
Beliau turut percaya corak permainan agresif dimiliki bersama pasangannya, Man Wei Chong mampu memberi kelebihan kepada mereka selepas sistem kiraan 15 mata diperkenalkan secara rasmi dalam pertandingan antarabangsa bermula Januari 2027.
Katanya, tidak semua pemain mampu menyesuaikan diri dengan format itu kerana ada yang memerlukan lebih masa untuk mendapatkan rentak permainan.
"Saya rasa untuk 15 mata ini memang kena tambah lagi kelajuan dan kekuatan.
"Ada pemain yang sesuai dan ada yang tidak sesuai sebab kadang-kadang ada pemain yang perlahan-lahan baru dapat masuk dalam permainan, tetapi format ini dari awal memang kena terus bermain pantas," katanya.
Kai Wun menjelaskan mereka sudah biasa menjalani latihan menggunakan sistem 15 mata sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan perubahan format pertandingan pada masa depan.
"Memang kami sudah biasa latihan dengan sistem 15 mata ini. Apa-apa latihan memang kami cuba juga," katanya.
Terdahulu ahli gabungan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meluluskan penggunaan sistem kiraan 15 mata (tiga set) selepas cadangan itu mendapat sokongan majoriti dua pertiga pada mesyuarat agung tahunan ke-87 badan induk itu di Horsens, Denmark.








