Polis tumpas penyelewengan 30 tan minyak sawit mentah di Klang

14 Mei 2026, 10:01 AM
Polis tumpas penyelewengan 30 tan minyak sawit mentah di Klang

SHAH ALAM, 14 MEI: Kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah terbongkar apabila polis merampas 30 tan bahan itu bersama dua lori bernilai keseluruhan RM505,000 dalam serbuan di Taman Jalan Kem, di Klang semalam.

Serbuan kira-kira jam 4 petang itu dilakukan Cawangan Risik Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dengan kerjasama pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Stesen Pelabuhan Klang dan Pasukan Ronda Cegah Jenayah (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, lapor Berita Harian.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA PDRM Superintendan Amanjith Singh berkata dua lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 36 tahun diberkas ketika sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak sawit mentah secara tidak sah.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas kira-kira 30,000 kilogram minyak sawit mentah, sebuah lori treler tangki 40 kaki dan sebuah lori rigid tiga tan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

“Turut dirampas beberapa peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak sawit mentah,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke MPOB Stesen Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut atas kesalahan penyelewengan minyak sawit mentah.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 dan Akta Pengangkutan Jalan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.