Upah RM15 setiap perjalanan, taktik licik seludup petrol terbongkar

19 Apr 2026, 8:31 AM
Upah RM15 setiap perjalanan, taktik licik seludup petrol terbongkar
Upah RM15 setiap perjalanan, taktik licik seludup petrol terbongkar

SHAH ALAM, 19 APRIL: Taktik licik penyeludup petrol yang melakukan pembelian berulang di stesen minyak terbongkar selepas seorang lelaki ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Nibong, Tumpat pagi semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan jam 9.50 pagi oleh anggota Batalion 9 ketika pemantauan dijalankan di sebuah stesen minyak di kawasan sempadan.

Menurutnya, pihaknya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero melakukan pembelian petrol secara berulang dalam tempoh satu jam sebelum mengekori dan menahannya di sekatan jalan raya di Pos Nibong.

“Hasil pemeriksaan mendapati diesel dalam kenderaan masih penuh dan suspek mengaku melakukan pembelian berulang di stesen minyak berkenaan.

“Bekalan minyak hasil pengisian pertama telah dihantar ke pangkalan haram sebelum diisi ke dalam tong jerikin dan dibawa ke Thailand menggunakan perahu,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.

Beliau berkata suspek turut mengaku terlibat dalam kegiatan itu sejak tahun lalu selepas ditawarkan pekerjaan oleh abang iparnya dengan upah antara RM13 hingga RM15 bagi setiap perjalanan.

Tambahnya, bahan api tersebut dipercayai diseludup ke negara jiran sehingga tiga kali sehari bergantung kepada permintaan, selain menggunakan aplikasi Zalo sebagai medium perhubungan.

Ahmad Radzi berkata pihaknya merampas 90 liter petrol serta sebuah kenderaan dengan nilai keseluruhan lebih RM30,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.