Luaskan liputan van DRT, orang ramai mahu akses lebih menyeluruh

6 Mei 2026, 1:13 AM
Luaskan liputan van DRT, orang ramai mahu akses lebih menyeluruh
Luaskan liputan van DRT, orang ramai mahu akses lebih menyeluruh
Luaskan liputan van DRT, orang ramai mahu akses lebih menyeluruh
Luaskan liputan van DRT, orang ramai mahu akses lebih menyeluruh

SHAH ALAM, 6 MEI: Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api dalam menangani krisis tenaga global, Kerajaan Negeri Selangor akan melancarkan inisiatif subsidi pengangkutan awam sebanyak RM30 yang mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk.

Namun, kekangan infrastruktur, liputan perkhidmatan yang terhad serta isu kebolehpercayaan masih menjadi cabaran utama. Sehubungan itu, orang ramai mencadangkan agar subsidi berkenaan diselaraskan dengan pas My50, selain memperluas perkhidmatan transit atas permintaan (DRT) dan menambah baik sambungan “first mile” dan “last mile”.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini mengumumkan subsidi sebanyak RM30 sebulan akan diberikan kepada 50,000 penduduk selama enam bulan hingga hujung tahun ini. Inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kos tambang bagi pengguna DRT, bas dan tren.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han ketika persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) baru-baru ini memaklumkan subsidi itu akan mula disalurkan pada Jun melalui aplikasi dompet digital rasmi, NINE.

Susulan itu, Media Selangor menjalankan tinjauan menerusi panggilan telefon terhadap persatuan penduduk dan pengguna pengangkutan awam. Rata-rata responden berpandangan, dalam keadaan kenaikan harga petrol, subsidi tersebut mampu mengurangkan perbelanjaan harian secara berkesan.

Mereka turut berharap kerajaan memperincikan pelaksanaan inisiatif itu serta menyelaraskannya dengan pas My50 bagi memastikan lebih ramai pengguna mendapat manfaat.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 9 Bandar Puteri, Kathryn Wong, berkata subsidi itu membantu pengguna tetap pengangkutan awam, khususnya pemegang pas My50, dalam meringankan beban kewangan.

“Jika sebelum ini mereka membayar RM50 untuk pas bulanan, dengan subsidi ini mereka hanya perlu menambah RM20 sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat nilai RM30 mungkin belum mencukupi untuk mengubah tabiat pemilik kenderaan persendirian beralih kepada pengangkutan awam.

“Di Bandar Puteri, hentian bas agak jauh dari kawasan perumahan, malah sebahagian stesen LRT dan MRT tidak menyediakan kemudahan parkir mencukupi. Kekangan ini sukar diimbangi hanya dengan subsidi RM30 sebulan,” katanya.

Luaskan liputan DRT, tingkatkan penggunaan

Seorang pengguna pengangkutan awam, Chow Kean Fatt, 51, berkata beliau telah lama menggunakan perkhidmatan tersebut untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, subsidi RM30 yang digabungkan dengan My50 mampu mengurangkan beban kos, terutama dalam keadaan harga minyak dan barangan yang meningkat.

Namun, beliau menegaskan isu utama bukan sekadar kos, sebaliknya gangguan teknikal yang kerap berlaku sehingga menjejaskan ketepatan masa perjalanan.

“Saya tinggal di Puchong dan masih perlu memandu ke stesen LRT sebelum menaiki tren. Jika perkhidmatan DRT diperluaskan ke kawasan perumahan saya, saya akan mempertimbangkan untuk tidak lagi memandu dan memanfaatkan subsidi ini,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar sistem pengangkutan awam diperkasakan, khususnya di kawasan yang masih belum mempunyai akses mencukupi.

“Saya berharap lebih banyak laluan dan kekerapan DRT dapat ditambah pada masa hadapan, selari dengan peningkatan jumlah pengguna,” katanya.

Perkukuh sambungan ‘first mile’ dan ‘last mile’

Pengerusi Persatuan Penduduk Klang Utama, Tan Boh Hock, berkata kebanyakan penduduk di kawasan itu masih bergantung kepada kenderaan sendiri berikutan kekurangan liputan pengangkutan awam.

“Subsidi ini mungkin belum memberi impak besar kepada penduduk setempat, namun tetap membantu penduduk di kawasan bandar mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan mahu menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, kemudahan sokongan perlu dipertingkatkan seperti penyediaan bas perantara dari kawasan perumahan ke stesen utama.

“Klang masih berdepan kekurangan pengangkutan awam. Walaupun LRT3 bakal beroperasi, penduduk tetap perlu memandu ke stesen untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Butiran lanjut dalam masa terdekat

Sze Han berkata inisiatif subsidi itu masih dalam peringkat perancangan, dengan butiran penuh dijangka diumumkan dalam tempoh sebulan selepas pelancaran rasmi.

Menurutnya, subsidi akan disalurkan melalui aplikasi NINE dan dihadkan penggunaannya kepada kos pengangkutan sahaja, manakala aspek teknikal masih diperhalusi.

“Fokus utama adalah menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan bahan api.

“Selain itu, subsidi ini turut memberi tumpuan kepada perkhidmatan DRT bagi menangani isu sambungan ‘first mile’ dan ‘last mile’, sekali gus meningkatkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.