KUALA LUMPUR, 12 MEI: Penceramah bebas Muhammad Fathi Na’im Mazlam dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun, lima tahun lepas.
Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki berumur 34 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Fathi Naim, pada akhir kes pendakwaan.
Ketika membacakan keputusan, Tasnim berkata mahkamah mendapati keterangan mangsa, iaitu saksi pendakwaan ketiga (SP3) dalam kes itu tidak dapat dikategorikan sebagai keterangan yang boleh dipercayai.
"Semasa saksi utama, iaitu SP3 memberikan kenyataan ketika pemeriksaan balas, mahkamah telah membenarkan pemohonan daripada pihak pembelaan untuk memulakan prosiding mencabar kredibilti saksi.
"Prosiding mencabar kredibiliti itu dimulakan selepas pihak pembelaan mendapati terdapat percanggahan material dengan perbicaraan terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan sama," kata hakim itu.
Tasnim berkata mahkamah mendengar, meneliti dan mempertimbangkan keterangan saksi pendakwaan serta hujahan lisan yang dikemukakan kedua-dua pihak termasuk Akta Saksi Keterangan Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 secara maksimum.
“Mahkamah ini mendapati keterangan penjelasan semasa prosiding mencabar kredibiliti, dan perbicaraan kes ini tidak dapat dikategorikan sebagai boleh dipercayai, dengan itu pendakwaan telah gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan pindaan dalam kes ini.
“Oleh yang demikian, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan pindaan ini,” katanya.
Sebanyak 11 saksi pendakwaan termasuk mangsa dan ibu mangsa, pegawai perubatan pediatrik serta doktor pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) telah dipanggil memberikan keterangan sepanjang kes pendakwaan.
Mangsa merupakan remaja sama dalam kes di Mahkamah Sesyen Klang yang Muhammad Fathi Na'im menghadapi enam pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek.
Mengikut pertuduhan pindaan, lelaki itu yang merupkan bapa kepada lapan anak, didakwa merogol remaja perempuan terbabit yang ketika itu berusia 14 tahun di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Imbi, Bukit Bintang, antara 2 pagi hingga 10 pagi, 3 Dis 2021.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Pervinah Mohamad Yusof, manakala penceramah itu diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah.
Siti Pervinah ketika ditemui selepas prosiding berkata pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan kes ini.
Pada 18 Sept 2025, Muhammad Fathi Na'im dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Noridah Adam (ketika itu Hakim Mahkamah Sesyen Klang) selepas didapati bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada Julai 2021.
Noridah tidak membenarkan penangguhan hukuman penjara, namun tertuduh kemudian dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan.
-- BERNAMA
TAG: mahkamah, Fathi Naim, rogol, remaja, lepas bebas








