SHAH ALAM, 4 MEI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah selatan dan menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai bekerja secara haram, hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bersepadu itu membabitkan 30 pegawai penguat kuasa pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurutnya, serbuan dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu, menyasarkan premis perniagaan serta kiosk di dalam kawasan R&R berkenaan.
"Seramai 39 individu diperiksa membabitkan 27 warga asing dan 12 warga tempatan.
"Hasil pemeriksaan mendapati majikan menggunakan taktik menggajikan warga asing dengan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik syarikat lain selain menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya hari ini, lapor Berita Harian.
Zakaria berkata, daripada jumlah itu, 20 warga asing berusia antara 23 hingga 40 tahun ditahan, terdiri daripada 11 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia serta dua lelaki warga Bangladesh.
"Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Pada masa sama, lima Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut.
"JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap majikan atau individu yang menggaji serta melindungi PATI," katanya.








