SYDNEY, 11 MEI: Mahasiswa Selangor di luar negara diseru membudayakan amalan membaca karya berimpak bagi membina jati diri dan memperkukuh pemikiran kritis demi menyumbang kepada pembangunan negara.
Pengarah Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil, Prof Dr Md Sidin Ahmad Ishak berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi negara untuk menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
Menurutnya, mahasiswa perlu memanfaatkan masa dengan membaca karya pemikiran termasuk hikayat, sejarah Melayu serta buku tulisan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli akademik.
Katanya, pembacaan itu juga perlu disertai dengan sesi perbincangan bersama rakan supaya pelajar dapat memahami dan menghayati isi kandungan secara lebih mendalam.
"Tinjauan mendapati kebanyakan mahasiswa masih kosong daripada segi pembacaan. Saya fikir ianya perlu kerana jika mereka pulang ke tanah air dengan tiada pengetahuan dibimbangi menimbulkan masalah.
"Saya mengharapkan mereka menjadi seorang pembaca dan benar-benar baca karya yang ada impak untuk bina jati diri, kesedaran serta kefahaman," katanya pada syarahan kebangsaan sempena Konvensyen Mahasiswa Selangor (KOMSEL) Luar Negara Australia di sini pada 8 Mei.
Syarahan Kebangsaan merupakan sebuah wacana yang mengangkat gagasan masa depan Malaysia dan Selangor menjelang tahun 2057, iaitu genap 100 tahun kemerdekaan negara.
Tidak hanya menilai sejarah perjuangan kemerdekaan, syarahan itu mengajak rakyat melihat cabaran masa depan daripada sudut pembangunan bangsa, perpaduan, demokrasi, ilmu pengetahuan, kebudayaan dan teknologi.
Dalam pada itu, Md Sidin menekankan bahawa inovasi bukan sekadar kecerdasan buatan (AI) dan sains semata-mata, tetapi turut melibatkan sains sosial, ekonomi dan pembangunan intelektual.
"Walaupun tema (konvensyen) tentang inovasi sebab ramai pelajar mengambil jurusan seperti AI dan sains maklumat, tetapi saya fikir mereka harus membaca bahan-bahan berimpak.
"Namun, kita tidak mahu jadi orang membaca sahaja tetapi tidak berfikir. Jadi mereka harus membaca, menjiwai hasil pembacaan supaya memberi sumbangan pemikiran kepada mereka," katanya.










