Curi kabel: Dua suspek ditahan, seorang lagi diburu

10 Mei 2026, 8:41 AM
Curi kabel: Dua suspek ditahan, seorang lagi diburu

SHAH ALAM, 10 MEI: lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki mencuri kabel di Taman Bukit Mewah, Kajang, seperti yang di tular di media sosial.

Kedua-dua suspek diberkas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sekitar Kajang serta Bandar Baru Bangi antara jam 8.15 hingga 10 malam tadi hasil maklumat orang ramai dan risikan yang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata suspek pertama berumur 29 tahun bekerja sebagai peniaga burger dan mempunyai satu rekod jenayah.

“Suspek kedua pula penganggur berusia 43 tahun dengan 10 rekod jenayah dan empat rekod narkotik. Kedua-dua suspek direman hingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan.

"Polis turut merampas sebuah Perodua Axia berwarna perak dipercayai digunakan ketika kejadian," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Naazron berkata usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.

"Sebelum ini, polis menerima laporan pada jam 4.45 petang semalam berhubung kejadian curi kabel di Taman Bukit Mewah.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 5.15 petang kelmarin membabitkan tiga lelaki yang menaiki sebuah Perodua Axia berwarna perak, disyaki memotong kabel milik Telekom Malaysia (TM)," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, satu rakaman video tular melalui media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai sedang mencuri kabel di sebuah taman perumahan di Kajang.

Sebaik saja perbuatan mereka disedari penduduk, semua individu terbabit melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kereta.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.