SUBANG JAYA, 10 MEI: Projek mitigasi banjir di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya berjaya mengurangkan risiko banjir dengan ketara apabila tiada aduan diterima di kawasan terlibat sejak kebelakangan ini.
Wakil rakyatnya, Michelle Ng Mei Sze berkata pelbagai langkah mitigasi dilaksanakan susulan kejadian banjir besar pada 2021 dan 2022 yang menjadi pengajaran penting kepada pihak berkuasa tempatan.
“Beberapa kawasan hotspot yang dikenal pasti kini telah menerima pelaksanaan projek mitigasi termasuk pembinaan kolam tadahan di USJ 1, pembinaan bendung (weirs) dalam longkang monsun di Persiaran Tujuan serta pemasangan sistem tahanan air ribut atau On-Site Detention (OSD).
“Kesemua projek ini berjaya membantu mengurangkan risiko banjir dan setakat beberapa hari kebelakangan ini, tiada aduan banjir diterima di kawasan terlibat,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, Michelle berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pemaju bagi menaik taraf sistem saliran di ruang bawah tanah pangsapuri Lagoon Perdana yang sering mengalami pengumpulan air di kawasan parkir dengan jangkaan siap tahun ini.
Tambahnya, usaha turut diperluaskan dengan mengenal pasti keperluan naik taraf sistem saliran di Persiaran Kewajipan yang disifatkan sebagai kawasan mencabar berikutan kedudukannya di bawah laluan transit aliran ringan (LRT).
Michelle pada masa sama menasihatkan ahli majlis supaya tidak leka dan sentiasa melakukan pemantauan berkala di kawasan hotspot bagi mengelakkan risiko banjir berulang khususnya ketika hujan lebat.
Pada 26 April lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan projek mitigasi banjir Kerajaan Negeri mula menunjukkan hasil positif apabila kejadian banjir dilaporkan semakin berkurang di kawasan terjejas.
Menurut beliau, kawasan Bukit Lanchong di Subang Jaya antara lokasi menunjukkan perubahan positif selepas dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir sebelum ini susulan pelaksanaan beberapa projek mitigasi dan penambahbaikan sistem saliran di kawasan berkenaan.








