SUBANG JAYA, 9 MEI: Seramai 297 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 10 sekolah menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya diraikan dengan pemberian insentif sebagai penghargaan atas kejayaan akademik mereka.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata program Hadiah Keputusan Cemerlang SPM 2023-2025 di kawasan itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM39,910.
“Pemberian insentif dibuat mengikut kategori pencapaian bermula 6A hingga 10A dan ke atas. Inisiatif ini bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap usaha pelajar malah menjadi dorongan untuk mereka terus melakar kejayaan pada masa depan.
“Kita mahu program ini menjadi sokongan dan pembakar semangat kepada pelajar untuk terus maju dalam pendidikan serta menjadi insan berguna kepada masyarakat bukan sahaja di Subang Jaya malah kepada negara,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan insentif kepada 297 pelajar pada program berkenaan di Subang Parade di sini, hari ini.

Sementara itu, penerima insentif, Addeena Jihadi, 18, meluahkan rasa syukur dan terharu kerana terpilih menerima penghargaan yang amat bermakna daripada wakil rakyat kawasan itu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SS17 itu berkata usaha yang dicurahkan sepanjang tempoh persekolahan bukan sahaja dihargai keluarga dan pihak sekolah malah turut mendapat perhatian pemimpin setempat.
“Semasa peperiksaan percubaan saya memperoleh 5A dan dalam keputusan sebenar berjaya mendapat 6A pada SPM 2025 lalu. Walaupun hanya bertambah satu A, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah dan saya sangat bersyukur dengan keputusan itu,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Mohamed Jamirudeen Mohamed Asarudeen, 18, berkata kejayaan memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2025 menjadi hadiah paling bermakna buat ibu bapanya.
Bekas pelajar SMK Subang Jaya itu berkata keputusan 6A yang diperoleh hasil usaha berterusan melakukan latihan dan ulang kaji selepas hanya memperoleh 3A dalam peperiksaan percubaan sebelum ini.
“Saya gembira dapat membuat ibu bapa tersenyum dengan keputusan ini. Program seperti ini juga menunjukkan komitmen wakil rakyat untuk sama-sama meraikan kejayaan pelajar dan secara tidak langsung menaikkan semangat kami untuk terus berjaya,” tambahnya.
Program Hadiah Keputusan Cemerlang SPM 2023-2025 DUN Subang Jaya diadakan bagi menghargai kecemerlangan akademik pelajar selain menyuntik motivasi kepada generasi muda.
Pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas menerima insentif RM200, diikuti 9A (RM150), 8A (RM120), 7A (RM100) dan 6A sebanyak RM80.









