SUBANG JAYA, 28 MAC: Seramai 387 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya menerima bantuan tunai persekolahan daripada Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata bantuan itu disasarkan kepada keluarga kurang berkemampuan bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa menjelang sesi persekolahan.
Menurutnya, jumlah penerima meningkat berbanding kuota asal seramai 300 pelajar hasil kerjasama dengan pihak swasta.
“Pada asalnya kuota penerima hanya 300 sahaja tetapi kita ambil inisiatif bekerjasama dengan Universal Therapeutic dan mereka bersetuju menaja 87 pelajar lagi daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Diharap sumbangan berjumlah RM38,700 ini dapat ringankan beban ibu bapa. Menariknya kali ini, kita anjurkan sekali dengan saringan kanser serviks percuma tajaan Yayasan Rose,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata hampir RM20 juta dibelanjakan sepanjang lebih 10 tahun bagi membantu kira-kira sejuta pelajar menyediakan kelengkapan sekolah.
Usaha itu juga sebagai langkah memastikan pelajar terutama kalangan keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada akses pendidikan.
Pemohon perlu mendaftar di pusat khidmat DUN masing-masing dan menyediakan dokumen sokongan antaranya salinan kad pengenalan ibu bapa, sijil kelahiran atau MyKid.
Selain bantuan itu, Yayasan MBI turut menyalur pelbagai inisiatif pendidikan antaranya Program Tuisyen Rakyat Selangor, sumbangan komputer riba serta rangkaian data Internet.

Sementara itu, Pengasas Universal Therapeutic, Dato’ Sri Samuel Chai berkata menjadi keutamaan pihaknya dalam membantu golongan kurang berkemampuan khususnya dalam bidang pendidikan.
“Ini merupakan tahun ketiga kita bekerjasama dengan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Subang Jaya untuk agihkan bantuan kembali ke sekolah.
“Kita menyokong semua program dilaksana pusat khidmat dalam membantu rakyat memerlukan,” katanya.










