SHAH ALAM: Polis menafikan dakwaan tular mengenai cubaan samun berhampiran Elmina Lakeside Mall di sini, sebaliknya mengesahkan insiden terbabit hanya melibatkan kemalangan jalan raya tanpa unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata kedua-dua individu terlibat telah tampil memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat percanggahan keterangan antara kedua-dua pemandu mengenai punca kejadian.
"Pemandu Perodua Bezza mendakwa kenderaannya dilanggar dari arah belakang ketika dalam keadaan parkir di bahu jalan.
"Bagaimanapun, pemandu Perodua Myvi pula mendakwa Perodua Bezza yang berada di hadapannya mengundur secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan kejadian itu, pemandu Myvi bertindak mengejar kenderaan berkenaan bagi membincangkan kemalangan yang berlaku.
"Kes disiasat dari sudut kemalangan dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan," katanya.
Terdahulu, kejadian itu tular di laman Threads apabila seorang pengguna meminta orang ramai berhati-hati sekiranya berada di kawasan sekitar bulatan Elmina Lakeside Mall.
Individu berkenaan mendakwa berlaku cubaan samun sekitar jam 12 tengah malam dengan modus operandi menghentikan kenderaan di belakang mangsa, melanggar sebelum bertindak mengejar.








