SYDNEY, 9 MEI: Diaspora dan mahasiswa Selangor di Australia memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan negeri itu dengan dunia luar dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, industri dan jaringan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata golongan terbabit bukan sahaja membawa ilmu dan pengetahuan, malah turut menyumbang perspektif global serta semangat untuk membina masa depan Selangor lebih cemerlang.
“Kita terus komited perkasa pembangunan modal insan termasuk buka ruang kepada bakat muda dan bina ekosistem yang mampu menghubungkan pendidikan, industri serta peluang global demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Dengan semangat kolaborasi, saya percaya Selangor akan terus melangkah sebagai sebuah negeri maju yang menjadi peneraju ekonomi negara seterusnya dihormati di persada antarabangsa,” katanya.
Beliau berucap pada majlis makan malam bersama diaspora Selangor di Australia di Crown Plaza Sydney Darling Harbour, di sini, malam tadi sempena Konvensyen Mahasiswa Selangor Luar Negara (KOMSEL) Luar Negara 2026.
Acara disertai hampir 100 diaspora dan mahasiswa, selain dihadiri Timbalan Pengarah Seksyen Agihan dan Pembangunan Unit Perancang Ekonomi Negeri Mohd Zainuddin Mat Hassan, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor Prof Emeritus Ir Dato’ Dr Hassan Basri serta wakil Suruhanjaya Tinggi dan Konsulat Malaysia di Sydney.
Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, KOMSEL mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri mendekati dan menghargai potensi anak Selangor yang sedang menimba ilmu serta kecemerlangan di persada antarabangsa.
“Melihat anak Selangor berdiri megah di bumi asing dengan keupayaan intelektual dan daya saing global memberi keyakinan besar bahawa masa depan negeri sedang dipersiap oleh generasi luar biasa.
“Mereka duta kecil negeri yang bawa bersama citra Selangor sebuah negeri progresif, inklusif, dinamik dan sentiasa memandang ke depan dalam mendepani cabaran dunia moden,” katanya.









