SHAH ALAM, 22 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi tumpuan kepada tiga aspek utama tahun ini untuk terus memacu prestasi dan kemajuan negeri, maklum ketua pegawai eksekutif kumpulannya.
Menurut Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop tumpuan meliputi aspek pengukuhan posisi Selangor sebagai gerbang pelaburan unggul, strategi komunikasi inklusif serta memperkukuh penjenamaan dan reputasi unggul.
Beliau menjelaskan menerusi strategi penjenamaan, usaha memperkukuh kedudukan Selangor sebagai gerbang pelaburan unggul digandakan bagi memastikan MBI berfungsi sebagai pemacu utama pelaburan strategik dan pembangunan mampan.
[caption id="attachment_680398" align="alignleft" width="500"]
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop bercakap kepada media pada Majlis Serahan Sumbangan Bakul Makanan Yayasan MBI di tapak runtuhan kolam takungan Hillpark, Taman Seri Alam, Saujana Utama pada 2 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Selain itu, mendukung posisi Selangor sebagai gerbang pelaburan unggul menerusi kepimpinan ekonomi, kecemerlangan, pengurusan portfolio dan impak pembangunan negeri yang memacu pertumbuhan sosio ekonomi, inovasi serta kesejahteraan komuniti,” katanya.
Menerusi amanat tahun baharu 2025 itu, Saipolyazan menambah agensi itu juga komited dalam memperhalusi strategi komunikasi lebih inklusif dan proaktif melalui hubungan bersama media dan pemegang taruh.
“Ini bagi memastikan penyampaian mesej yang konsisten untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan komuniti berkolaborasi dengan MBI Selangor,” katanya.
Selain itu menurutnya, bagi memperkukuh inisiatif penjenamaan, MBI akan terus memacu reputasi unggul menerusi legasi kepimpinan pemikiran dalam analisis ekonomi dan trend pelaburan.
Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata MBI meneruskan tekad memacu Selangor ke peringkat lebih global menerusi aspirasi THRIVE28.
“Sebuah pelan tindakan strategik jangka panjang atau Group Strategic Blueprint (GSB) bakal dilancarkan sebagai strategi jangka masa panjang untuk merealisaikan aspirasi THRIVE28 bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Tahun ini, MBI Selangor komited menempatkan posisi agensi ini diiktiraf sebagai pemangkin pelaburan impak utama Selangor dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan serta inovasi demi kemakmuran negeri yang berterusan,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada warga agensi itu untuk gigih berusaha dan terus cekal, agar perancangan tahun ini dapat dijayakan dengan cemerlang selain berharap mereka diberikan nikmat kesihatan yang baik untuk terus menabur khidmat kepada keharmonian negeri berbilang kaum, agama serta budaya.


