SHAH ALAM, 6 MEI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) tahun 2025 sebanyak 4.1 peratus, tertinggi dalam tempoh 11 tahun.
Agihan keuntungan itu melibatkan peruntukan RM505.68 juta berbanding RM439.87 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit Simpan SSPN.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, peningkatan kadar dividen tersebut mencerminkan kecekapan pengurusan dana simpanan secara berkesan berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan optimum kepada pendeposit, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, pada tahun 2025, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah RM3.3 bilion, meningkat berbanding RM3.17 bilion pada tahun 2024.
“Selain itu, lebih 500,000 pembukaan akaun baharu direkodkan tahun lalu, menjadikan jumlah deposit terkumpul sehingga 31 Disember 2025 sebanyak RM23.88 bilion.
“Prestasi ini amat membanggakan dan membuktikan keyakinan serta sokongan berterusan pendeposit terhadap Simpan SSPN,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, pengumuman dividen 4.10 peratus itu menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004 mencecah RM2.63 bilion.
Katanya, kadar tersebut juga lebih tinggi berbanding 4.05 peratus yang diumumkan pada 2024, sekali gus mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh lebih sedekad.
“Peningkatan ini turut disokong strategi pelaburan patuh syariah sama ada jangka pendek dan panjang dalam pasaran wang serta sukuk tempatan, yang mengekalkan prinsip perlindungan modal di samping menawarkan pulangan kompetitif.
“Strategi pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan strategik dalam simpanan tetap jangka panjang dan sukuk turut menyumbang kepada peningkatan pulangan,” katanya.
Norliza berkata, pulangan itu juga kekal kompetitif berbanding kadar dasar semalaman (OPR) yang ditetapkan Bank Negara Malaysia pada 2.75 peratus sepanjang tahun 2025.
Katanya, agihan dividen tersebut akan dikreditkan terus ke dalam akaun pendeposit dan semakan boleh dibuat menerusi aplikasi MyPTPTN bermula esok.
“Keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN terus diperkukuh melalui pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, geran sepadan serta jaminan kerajaan selain patuh syariah.
“Kerajaan juga bersetuju memperluaskan kriteria pemberian geran sepadan kepada keluarga berpendapatan RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun, membolehkan permohonan sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga.
“Selain itu, PTPTN turut menganjurkan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 dengan tawaran hadiah keseluruhan RM1.4 juta kepada 954 pemenang bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini,” katanya.








