Ops Tiris 4.0: 506 kes direkod, diesel paling tinggi

5 Mei 2026, 4:22 AM
Ops Tiris 4.0: 506 kes direkod, diesel paling tinggi

SANDAKAN, 5 MEI: Sebanyak 38,071 pemeriksaan dilakukan dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang bermula 16 Mac 2026 sehingga semalam dengan 506 kes direkodkan dan 147 individu ditahan di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada 506 kes itu penyelewengan bahan api diesel dan petrol mencatatkan jumlah kes tertinggi.

"Diesel (228 kes), petrol (105 kes), gas petroleum cecair (64 kes), minyak masak (57 kes), gula (35 kes) dan tepung gandum (16 kes).

"Di Sabah misalnya sebanyak 6,108 pemeriksaan dilakukan yang merekodkan 132 kes dan daripada itu penyelewengan diesel mencatatkan kes tertinggi iaitu 48 kes, diikuti 37 kes melibatkan bahan api petrol," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI di perkarangan parkir Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, di sini (APMM), hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Armizan berkata Pelaksanaan Ops Tiris itu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan meliputi sektor daratan, perairan serta sempadan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sementara itu, katanya, hari ini satu taklimat mengenai status semasa pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) diberikan kepada Hajiji dengan fokus laporan ialah dapatan operasi penguatkuasaan serta pemantauan daripada agensi penguatkuasaan terlibat termasuk Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Sebelum ini dua Pasukan Petugas Khas (Task Force) Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) ditubuhkan bagi Sarawak dan Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.