Jalil Hamid meninggal dunia dalam tidur di rumah

4 Mei 2026, 7:29 AM
Jalil Hamid meninggal dunia dalam tidur di rumah

SHAH ALAM, 4 MEI: Bintang veteran versatil, Jalil Hamid meninggal dunia di kediamannya di Taman Alam Megah, Seksyen 28, dekat sini tengah hari tadi.

Pemergian Allahyarham atau nama sebenar Abdul Jalil Abdul Hamid, 69, disahkan anak kelimanya, Afiqah Jalil atau Iqa yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir dalam tidur.

“Ayah meninggal dunia dalam tidur di rumah. Ayah mengalami jantung bengkak,” katanya lapor Berita Harian.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar, petang ini. Sebelum itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Munawwarah bagi urusan solat jenazah.

Allahyarham dilahirkan pada 25 April 1957 di Kampung Kuala Masai, Masai, Johor Bahru dan merupakan anak ketiga daripada lima beradik sebelum membesar di Felda Cahaya Baru, Masai.

Kerjayanya bermula di Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) pada 1976, namun minat mendalam dalam bidang seni mendorong beliau melanjutkan pengajian dalam seni pentas di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1979.

Bakat seni Allahyarham terus berkembang apabila beliau aktif dalam pelbagai kegiatan seni di Johor sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam industri kreatif tanah air.

Pada April 1984, beliau menyertai Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA, UiTM) Shah Alam dan terus menyumbang dalam bidang seni serta pendidikan.

Sebelum ini, Allahyarham pernah berkongsi keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan untuk menunaikan ibadat haji selepas menerima panggilan daripada Tabung Haji tahun lalu.

“Jantung saya belum pulih betul kerana syarat Tabung Haji tidak sesuai dengan keadaan jantung saya.

"Kalau hendak pergi haji, peratusan kesihatan jantung sekurang-kurangnya 35 peratus, tetapi saya hanya 24 peratus. Itu yang saya kecewa sebab saya sudah tunggu lama nak pergi haji dari 2008," katanya yang pernah menunaikan umrah beberapa kali ketika hayatnya.

Allahyarham terkenal dengan lagu Ayam dan Raya. Dalam lakonan Allahyarham pernah membintangi filem Wanita Bertudung Hitam, Baginda, Zombi Kampung Pisang dan Bisik Pada Langit serta puluhan drama sejak 1980-an.

Sepanjang karier Allahyarham memenangi beberapa anugerah seperti Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Baginda) dalam Festival Filem Malaysia ke-13 serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Calon Syurga) di Anugerah Skrin 2016.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.