SHAH ALAM, 2 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang menggalakkan orang ramai mendaftar Skim Khairat Darul Ehsan (KDE) yang dibuka sepanjang Mei hingga Julai ini di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Baru Klang.
Dr Quah Perng Fei berkata pihaknya menyediakan kaunter pendaftaran setiap hari dari jam 10 pagi hingga 4 petang bagi memudahkan waris warga emas dan orang kurang upaya (OKU) membuat permohonan.
“Skim Khairat Darul Ehsan sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Negeri ini membuktikan keprihatinan dan penghargaan terhadap rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata pemohon perlu hadir dengan membawa kad pengenalan asal, salinan kad pengenalan waris, alamat e-mel serta nombor telefon waris.
Skim tersebut sebelum ini dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021 dengan beberapa penambahbaikan selaras usaha Kerajaan Negeri memperkukuh kebajikan rakyat Selangor.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian YAWAS di 03-54818800 atau Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Baru Klang di 018-9696968.






