Kanak-kanak dihanyutkan arus deras di Puncak Alam, operasi SAR masih diteruskan

29 Apr 2026, 11:07 AM
Kanak-kanak dihanyutkan arus deras di Puncak Alam, operasi SAR masih diteruskan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam longkang di Fasa 3, Puncak Alam, masih belum ditemui setakat jam 5 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu melalui talian NG999 jam 7.10 malam tadi, sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan bersama pasukan bomba dan penyelamat.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dikenali sebagai Khairil Izani Khaizalullinudin dan kali terakhir dilihat memakai jersi hijau bernombor lapan serta seluar panjang hitam.

"Kejadian dipercayai kira-kira jam 3 petang ketika dia bermain bola di padang Fasa 3 Puncak Alam bersama dua rakannya, masing-masing berusia 11 dan 12 tahun dalam keadaan hujan lebat.

"Menurut rakannya, kanak-kanak itu pergi ke longkang berhampiran padang atas tujuan yang tidak dapat dipastikan sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Mohd Hafiz berharap rang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 untuk membantu siasatan.

"Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Fuzi Kamazan di talian 012-3818167," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.