Di celah kesibukan menguruskan kerjaya dan rumah tangga, kita sering berdepan dengan ragam anak-anak yang menguji kesabaran.
Ada masanya si kecil berusia dua atau tiga tahun ini tiba-tiba mogok makan, susah tidur, merengek panjang, atau ligat bermain di tempat bahaya.
Tanpa berfikir panjang, segelintir ibu bapa sering melontarkan "senjata" paling ampuh untuk mendiamkan mereka: "Sssshh jangan nangis. Tengok tu hantu!" atau "Dah diam, kalau tak nanti hantu datang gigit!"
Dalam sekelip mata, anak tersebut menjadi patuh. Senyap dan diam terpaku. Ibu bapa menarik nafas lega kerana "masalah" selesai.
Namun, adakah kita sedar bahawa di sebalik kepatuhan segera itu, kita sebenarnya sedang menanam "racun" psikologi yang mampu merencatkan pembentukan karakter anak tersebut secara jangka panjang?
Budaya memomokkan anak dengan entiti ghaib ini wajar dihentikan dan diganti dengan pendekatan yang membina akal sihat dalam diri anak kecil.
Antara fantasi dan realiti
Untuk memahami mengapa tindakan ini berbahaya, kita perlu menyelami cara otak kanak-kanak bekerja. Menurut tokoh psikologi perkembangan terkenal, Jean Piaget, kanak-kanak berusia 2 hingga 7 tahun berada dalam fasa yang dikenali sebagai Tahap Pra-Operasi.
Pada peringkat ini, pemikiran kanak-kanak bersifat imaginatif, di mana mereka masih belum mampu membezakan sepenuhnya antara fantasi dan realiti.
Apabila orang dewasa yang paling dipercayai iaitu ibu dan ayah khususnya, menyatakan bahawa "ada hantu di penjuru bilik," otak anak kecil tidak memprosesnya sebagai satu gurauan.
Sebaliknya, mereka menerimanya sebagai satu fakta fizikal. Bagi mereka, hantu itu benar-benar wujud dan boleh mencederakan mereka pada bila-bila masa.
Tindakan kita ini sebenarnya sedang mengambil kesempatan atas sifat lurus anak-anak yang percayakan kita sepenuhnya semata-mata untuk menakutkan mereka.
Melahirkan generasi "anxious"
Kesan utama daripada momokan berterusan ini adalah pembentukan emosi yang tidak stabil atau insecurity. Dalam bidang psikologi kanak-kanak, rasa selamat (sense of security) adalah asas kepada keyakinan diri.
Tokoh pendidikan Islam kontemporari, Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya Tarbiyatul Aulad Fil Islam, di bawah perbincangan 'Tanggungjawab Pendidikan Jiwa', beliau menegaskan bahawa menakut-nakutkan anak dengan kisah hantu dan khurafat adalah antara punca utama yang membunuh keberanian anak dan melahirkan sifat pengecut.
Anak-anak yang sering ditakutkan akan membesar dengan membawa beban keresahan (anxiety).
Mereka menjadi takut untuk ke tandas bersendirian, takut gelap, dan enggan mencuba perkara baharu kerana minda bawah sedar mereka telah diprogramkan bahawa dunia ini penuh dengan ancaman ghaib yang tidak boleh dikawal.
Ini secara langsung membunuh sifat ingin tahu (curiosity) yang merupakan enjin utama kepada proses pembelajaran dan eksplorasi kanak-kanak.
Bila amaran yang benar dianggap dusta
Lebih membimbangkan, taktik menakutkan ini mempunyai kesan sampingan terhadap hubungan ibu bapa dan anak.
Apabila anak semakin membesar dan akal logiknya mula matang (sekitar usia 7 tahun ke atas), mereka akhirnya akan menyedari bahawa "hantu" yang sering disebut oleh ibu bapa mereka hanyalah rekaan semata-mata.
Pada saat ini, berlakulah krisis kepercayaan atau trust issue. Anak akan mula mempersoalkan integriti ibu bapa. Jika ibu bapa boleh berbohong tentang hantu semata-mata untuk menyuruh mereka tidur, tidak mustahil ibu bapa juga berbohong tentang perkara lain.
Kesannya, amaran tentang bahaya sebenar seperti bahaya api, jalan raya, atau orang asing mungkin tidak lagi diambil serius oleh anak kerana mereka menganggap ia hanyalah satu lagi taktik manipulasi orang dewasa.
Bina akal, bukan ketakutan
Sudah tiba masanya ibu bapa mengubah cara didikan. Tinggalkan kaedah "fear-based parenting" dan beralih kepada pendekatan yang berpaksikan logik dan kasih sayang.
Kita wajar meninggalkan didikan berasaskan ancaman dan beralih kepada didikan yang menyantuni akal budi anak.
Ia mungkin mengambil masa dan memenatkan untuk menerangkan satu per satu kepada si kecil. Namun, hasilnya jauh lebih baik dan berkekalan berbanding sekadar membuatkan mereka patuh kerana takut.
Sebagai contoh, gantikan ayat "Jangan main di luar waktu maghrib, nanti hantu sorok” kepada penjelasan saintifik dan agama yang mudah seperti, "Masuk ke dalam sayang, hari sudah gelap. Di luar banyak nyamuk dan penglihatan kita terhad, nanti adik jatuh sakit atau tercedera."
Pendekatan ini melatih otak anak untuk berfikir secara kritis (sebab dan akibat) dan memahami risiko sebenar. Ia membina disiplin dalaman (internal discipline) di mana anak patuh kerana mereka faham kebaikan di sebalik arahan tersebut, bukan kerana takutkan ancaman palsu.
Kesimpulannya, rumah seharusnya menjadi tempat berlindung paling selamat bagi kanak-kanak dan bukannya tempat yang dipenuhi dengan imaginasi menyeramkan.
Tugas kita sebagai ibu bapa adalah untuk membina benteng keyakinan dalam diri anak-anak supaya mereka bersedia menghadapi cabaran dunia nyata dengan berani, bukan membesar menjadi individu yang sentiasa menoleh ke belakang kerana takutkan bayang-bayang sendiri.
Nina Nazliana binti Zolkapli adalah pelajar Program Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Kuala Lumpur.








