SHAH ALAM, 28 APRIL: Polis tidak menemukan sebarang unsur luar biasa berhubung kes petisyen laungan azan dan solat Jumaat membabitkan sebuah surau di Ampang, kata Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.
Beliau berkata siasatan awal mendapati tindakan suspek mencetuskan kontroversi itu hanya bersifat peribadi yang didorong rasa tidak puas hati terhadap isu tertentu seperti kesesakan lalu lintas, khususnya ketika solat Jumaat.
“Namun polis masih meneruskan siasatan dari pelbagai aspek dan sudut,” katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor di sini hari ini.
Shazeli menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang kenyataan atau tindakan yang mampu menggugat keharmonian kaum sehingga menjejaskan ketenteraman awam serta mengamalkan toleransi yang tinggi dengan mengambil kira kemajmukan di negara ini.
“Polis tidak akan berkompromi dan bertolak ansur terhadap pihak atau individu yang kami percaya atau didapati mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam dari pelbagai aspek, khususnya membabitkan isu 3R (agama, raja dan kaum),” katanya.
Sebelum ini, Shazeli mengesahkan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun di Pandan Indah, Ampang bagi membantu siasatan berhubung kes ingkar titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkait pelaksanaan solat Jumaat dan azan di sebuah surau yang juga tular di media sosial.








