Lelaki ditahan bantu siasatan isu surau di Ampang

26 Apr 2026, 1:06 PM
Lelaki  ditahan bantu siasatan isu surau di Ampang

SHAH ALAM, 26 APRIL: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ingkar titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkait pelaksanaan solat Jumaat dan azan di sebuah surau di Ampang yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata suspek berusia 46 tahun itu ditahan di sekitar Pandan Indah, Ampang jam 3 petang tadi, selain turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit dan beberapa dokumen bagi siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam kenyataan sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan serta menggugat ketenteraman awam.

“Pihak polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang cuba mencetuskan provokasi melampau sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah mendaftarkan nama seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam isu petisyen azan di Ampang, ke dalam senarai pekeliling khas bagi menghalang individu berkenaan meloloskan diri ke luar negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.