SHAH ALAM, 27 APRIL: Sebuah rumah kedai dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Jalan Parit 13, Sungai Nibong, Sungai Besar, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dengan bantuan BBP Sekinchan dikerah ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah bangunan kelas B berkeluasan 70x40 kaki persegi dianggarkan hangus 70 peratus.
“Kejadian tersebut turut memusnahkan dua buah kenderaan iaitu masing-masing kereta jenis Proton Perdana dan Wira,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata 10 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah tangki air turut terlibat bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan berhampiran.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal pada 2.15 petang dan pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada sebarang mangsa terlibat dalam insiden itu.
“Punca sebenar kejadian dan anggaran jumlah kerugian yang dialami masih lagi dalam proses siasatan,” katanya.








