Polis kenal pasti pemilik akaun hina Sultan Selangor

27 Apr 2026, 8:52 AM
Polis kenal pasti pemilik akaun hina Sultan Selangor

SHAH ALAM, 27 APRIL: Polis mengenal pasti pemilik akaun yang memuat naik hantaran tular dipercayai menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata siasatan kini dijalankan terhadap pemilik akaun Facebook “Huayan The Pureland Learning Centre”.

“Siasatan termasuk merampas peranti yang digunakan, sebelum dihantar ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dengan kerjasama SKMM.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Setakat ini, 21 laporan polis diterima, manakala 21 saksi termasuk pengadu telah dirakam keterangan.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan media sosial, khususnya melibatkan isu 3R.

“Kebebasan bersuara ada batas. Orang ramai diminta berhemah dalam setiap hantaran,” katanya.

Kelmarin, tular di media sosial satu hantaran yang menyunting imej khinzir memakai pakaian adat istana dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Berikutan itu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han mengecam hantaran berkenaan dan menyeru polis mengambil tindakan tegas agar pihak terbabit dikenakan hukuman berat selaras dengan peruntukan undang-undang.

Kecaman turut dibuat beberapa lagi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah; EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah; EXCO Perpaduan Dato’ Rizam Ismail; EXCO Sukan Najwan Halimi dan EXCO Sumber Manusia V Papparaidu.

Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad berkata Dato’ Amirudin Shari akan bertemu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil petang ini susulan hantaran tular tersebut selain Dewan Diraja Selangor juga dijangka membuat laporan polis atas isu sama petang ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.