SHAH ALAM, 27 APRIL: Harga lembu korban di Kelantan meningkat kira-kira 10 peratus menjelang Aidiladha susulan cuaca panas berpanjangan dan kenaikan kos operasi.
Pengusaha Khir Bitara Farm, Muhammad Muzakkir Mansor berkata harga lembu kini mencecah antara RM5,500 hingga RM6,600 seekor berbanding sekitar RM5,000 hingga RM6,000 sebelum ini, lapor portal Berita RTM.
Beliau berkata musim kemarau menyebabkan bekalan rumput berkurangan, memaksa penternak mendapatkan makanan ternakan dari luar seperti jerami dari Kedah, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan.
“Selain itu, kenaikan harga diesel dan keperluan penjagaan rapi termasuk pemberian vitamin tambahan turut menambah kos bagi memastikan ternakan kekal sihat dalam cuaca panas,” katanya.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 20 ekor lembu telah ditempah, namun sambutan masih perlahan dan dijangka meningkat apabila menghampiri Aidiladha.
Ladang seluas 14 hektar di Kampung Pulau Raja itu kini menempatkan lebih 500 ekor lembu, dengan kira-kira 200 ekor diperuntukkan untuk ibadah korban.








