Penipuan deepfake meningkat, lebih 43,000 kandungan diambil tindakan

27 Apr 2026, 7:47 AM
Penipuan deepfake meningkat, lebih 43,000 kandungan diambil tindakan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Ancaman teknologi deepfake yang semakin canggih dan sukar dikesan kini menjadi cabaran global, bukan lagi isu terpencil, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) semakin membimbangkan apabila digunakan untuk menghasilkan kandungan palsu yang sangat meyakinkan, termasuk manipulasi wajah dan suara bagi tujuan penipuan, lapor portal Berita RTM.

“Trend penipuan semakin ketara, justeru kerjasama dengan media amat penting untuk meningkatkan literasi digital masyarakat,” katanya selepas merasmikan Persidangan Agung Konfederasi Wartawan ASEAN (CAJ) ke-21.

Menurutnya, terdapat kes melibatkan penyamaran tokoh terkenal dan pemimpin negara dalam skim penipuan kewangan sehingga menjejaskan kepercayaan terhadap maklumat digital.

Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan sebanyak 43,618 kandungan melibatkan akaun palsu dan penyamaran telah diambil tindakan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memperkasa pengamal media melalui latihan AI bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran digital.

Sebanyak 55 kursus dirancang menerusi Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, dengan 41 kursus telah dilaksanakan setakat 31 Mac melibatkan 1,552 peserta.

Tambahnya, usaha itu penting supaya pengamal media bukan sahaja mahir menggunakan AI, malah mampu menilai risiko dan mengekang penyebaran maklumat palsu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.