SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha pusat asuhan bagi membincangkan isu penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan itu penting bagi menangani gejala ‘sindrom gajet’ yang semakin membimbangkan, khususnya melibatkan kanak-kanak dan pelajar.
"Kita melihat perlu ada perbincangan dengan pusat asuhan untuk tangani ketagihan gajet kerana ada antara pengusaha meggunakannya bagi mendamaikan anak-anak.
"Bukan di pusat asuhan sahaja, tetapi ada juga ibu bapa yang tidak mampu halang dan tenangkan anak bertindak agresif beri gajet.
"Perkara ini memerlukan tindakan menyeluruh dan EXCO Kebajikan Anfaal Saari akan melihatnya serta masukkan dalam kerangkan ekonomi penjagaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali Muhaimin Harith Abdullah Sani berhubung gejala sindrom gajet dalam kalangan kanak-kanak pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Terdahulu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya sindrom gajet ditangani.
"Antaranya pelaksanaan program Kempen Internet Selamat di Selangor bertujuan memberi kefahaman penggunaan yang selamat. Tahun lalu sahaja sebanyak 811 sekolah kebangsaan manakala 100 sekolah jenis kebangsaan cina.
"Kita sasar untuk tahun ini 133 sekolah setiap daerah akan sertai program ini. Penggunaan internet tidak salah tetapi yang perlu ditekankan adalah cara penggunaan yang selamat," ujarnya.








