Polis serah siasatan kes fitnah MAIS kepada Pejabat Peguam Negara

26 Apr 2026, 6:31 AM
Polis serah siasatan kes fitnah MAIS kepada Pejabat Peguam Negara

SHAH ALAM, 26 APRIL: Polis menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan fitnah terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui TikTok kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada individu terlibat yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Polis telah melengkapkan siasatan dan kini kertas siasatan telah diserahkan untuk keputusan serta arahan selanjutnya. Jadi, saya minta masyarakat bersabar sehingga keputusan rasmi daripada AGC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Larian Diraja Selangor bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar. Foto Facebook Polis Selangor

Shazeli menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menjejaskan mana-mana institusi keagamaan atau menimbulkan keadaan tidak harmoni dalam masyarakat.

Sebelum ini, polis mengesahkan sedang menyiasat seorang individu selepas dipercayai membuat kenyataan fitnah terhadap MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi hantaran di media sosial berkaitan urusan projek sebuah masjid di Subang.

Dalam perkembangan berasingan, Shazeli mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dikenali sebagai Imran pada 24 April kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penipuan pakej pelancongan.

Shazeli berkata suspek tular di media sosial kerana didakwa menggunakan pelbagai agensi pelancongan dan nama isterinya bagi menjalankan urusan pinjaman bank secara tidak sah dan difahamkan mencari mangsa di beberapa negeri lain.

“Di Selangor satu laporan diterima dan kerugian sebenar serta modus operandi masih dalam siasatan terperinci,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.