SABAK BERNAM, 25 APRIL: Lebih 15,000 dijangka memeriahkan Festival Sawah Padi Sekinchan 2026 di Terminal Sekinchan, yang berlangsung hari ini hingga esok.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata festival bagi tahun kedua kali ini tampil dengan konsep yang lebih segar dan dinamik, melibatkan penyertaan lebih banyak agensi dan rakan kolaborasi.
“Ramai pihak yang bertungkus-lumus menjayakan acara ini, khususnya Tourism Selangor selaku penganjur utama yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan festival ini.
“Festival Sawah Padi Sekinchan kali ini juga dianjurkan dengan konsep yang berlainan, di mana kita adakan acara ini dari petang hingga ke malam.
“Pendekatan ini selaras dengan trend pelancongan masa kini yang memberi penekanan kepada pengalaman waktu malam atau 'night tourism' sekali gus membuka lebih banyak peluang aktiviti dan tarikan kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Sawah Padi Sekinchan 2026 yang dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Hadir sama, EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Rizam Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop.
Sementara itu, Amirudin meluahkan rasa bangga apabila Sekinchan dan wilayah utara Selangor kini semakin mendapat tumpuan pelancong dan berkembang sebagai sektor agro pelancongan yang unggul.
Beliau berkata, kelebihan itu turut menyumbang kepada kemajuan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), sekali gus menepati sasaran bagi rangsangan ekonomi tempatan.
“Hari ini saya boleh bangga katakan bahawa di Selangor kita telah memperkukuhkan elemen-elemen pelancongan yang melibatkan alam sekitar, pertanian atau 'agro-tourism' yang semakin berkembang.
“Itu sedikit sebanyak menjadi nadi kepada kita di SABDA, dimana ekonomi semasa di Sabak Bernam kini meningkat lebih 30 peratus kerana usaha berterusan kita,” katanya.
Terdahulu, Amirudin turut menyempurnakan pelepasan Larian Sawah Padi yang disertai lebih 1,000 peserta daripada pelbagai latar belakang.
Festival Sawah Padi Sekinchan 2026 turut menghimpunkan lebih 35 gerai bawah Platform Selangor (PLATS) dengan konsep santai atau 'healing' serta tayangan wayang pacak, perkhidmatan tram, saringan kesihatan, dan konsert.
Acara berkenaan dianjur dengan kerjasama MBI, Media Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), SABDA, PLATS, KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).












