Imigresen gempur majikan degil gaji PATI, 45 ditahan

24 Apr 2026, 2:41 AM
Imigresen gempur majikan degil gaji PATI, 45 ditahan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Jabatan Imigresen Malaysia menggempur lapan lokasi di sekitar Selangor, semalam dalam operasi bersepadu membanteras majikan yang masih berdegil menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi bermula pukul 11 pagi itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya membabitkan premis di Semenyih, Jenjarom, Seri Kembangan, Cheras dan Serdang.

“Operasi itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu. Pasukan operasi dengan kekuatan 52 pegawai pelbagai pangkat digerakkan secara serentak dan memeriksa seramai 88 individu terdiri daripada 66 warga asing dan 22 warga tempatan.

"Hasil pemeriksaan, seramai 45 individu warga Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia antara 29 hingga 50 tahun ditahan" katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam operasi sama, katanya sembilan Saman Kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan kepada warga tempatan yang menggaji PATI bagi membantu siasatan.

Zakaria berkata, Imigresen akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dalam membanteras serta mengekang majikan yang masih gagal mematuhi dasar dan polisi semasa kerajaan berkaitan penggajian pekerja asing.

"Tindakan penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada warga asing yang melanggar undang-undang, malah turut menyasarkan majikan yang berdegil, cuai atau sengaja menggaji PATI.

"Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana mana pihak yang melindungi atau memberi pekerjaan kepada warga asing secara tidak sah," katanya.

Semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.