PUTRAJAYA, 23 APRIL: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) berjaya menggagalkan cubaan seorang warga asing menyeludup masuk produk pertanian di KLIA Terminal 1 (T1).
Komander Pintu Masuk KLIA T1 Mohd Safrie Zakaria berkata pemeriksaan sekitar 1 pagi tadi, ke atas dua bagasi milik penumpang dari China itu menemukan pelbagai produk pertanian yang tidak mematuhi syarat pengimportan dianggarkan bernilai RM1,600.
Beliau berkata antara barangan dirampas ialah daging itik sejuk beku, ayam bulat dan daging babi tanpa Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Sijil Kesihatan Veterinar dari negara pengeksport.
"Kejayaan ini membuktikan keberkesanan penglibatan MBG dalam memperkukuh keupayaan operasi AKPS, khususnya dalam aspek pemeriksaan, risikan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara.
"Sinergi antara pegawai AKPS dan anggota MBG telah meningkatkan kecekapan tindakan serta keberkesanan pengesanan terhadap cubaan pelanggaran undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).







