Inisiatif perundangan global ditubuh, perkukuh tindakan isu Palestin

23 Apr 2026, 1:44 PM
Inisiatif perundangan global ditubuh, perkukuh tindakan isu Palestin
Inisiatif perundangan global ditubuh, perkukuh tindakan isu Palestin
Inisiatif perundangan global ditubuh, perkukuh tindakan isu Palestin

SHAH ALAM, 23 APRIL: Satu koalisi perundangan global baharu diwujudkan bagi memperkukuh usaha membawa pihak yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa ke muka pengadilan, khususnya berkaitan isu Palestin.

Inisiatif tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) yang mewakili Sumud Nusantara bersama Waves of Freedom France (WOFF) dan Global Coalition to End the Occupation of Palestine (SANED).

Kerjasama itu dimeterai sempena Kongres Parlimen Sumud yang berlangsung di Brussels semalam sekali gus menandakan usaha lebih tersusun di peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan, kerjasama berkenaan bertujuan menyelaras tindakan undang-undang termasuk pemfailan aduan di Perancis terhadap beberapa pegawai Israel.

Tindakan itu susulan kelulusan undang-undang hukuman mati ke atas tahanan Palestin oleh Knesset pada Mac lalu.

Aduan tersebut menyasarkan beberapa individu termasuk Itamar Ben-Gvir, Limor Son Har-Melech, Zvika Fogel, Nissim Vaturi serta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Mereka didakwa mempunyai peranan dalam merangka, menyokong dan meluluskan undang-undang berkenaan.

Kenyataan sama turut memaklumkan sekurang-kurangnya lima lagi tindakan undang-undang akan difailkan dalam masa terdekat di beberapa bidang kuasa Eropah.

Langkah itu merupakan sebahagian usaha bersepadu yang dikaitkan dengan dakwaan pelanggaran Konvensyen Geneva.

Pelanggaran tersebut berpotensi diklasifikasikan sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Pada masa sama, penubuhan koalisi itu membuka ruang kepada lebih banyak organisasi antarabangsa untuk menyertai usaha memperkukuh tindakan undang-undang di peringkat global.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.