ISTANBUL, 23 APRIL: Serangan Israel ke atas Lubnan telah membunuh wartawan Lubnan Amal Khalil ketika beliau menjalankan tugasnya, kata Palang Merah pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi, memetik agensi berita nasional
Agensi Berita Nasional yang dikendalikan kerajaan Lubnan melaporkan pada awal hari bahawa "pasukan pendudukan Israel sedang mengepung wartawan Amal Khalil dan Zeinab Faraj, dan menghalang Palang Merah dan tentera Lubnan daripada sampai kepada mereka."
Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam berkata awal Khamis bahawa sasaran Israel terhadap wartawan merupakan "jenayah perang," mengutuk apa yang disifatkan beliau sebagai corak serangan yang sistematik di selatan Lubnan.
Salam berkata menyasarkan wartawan, menghalang pasukan penyelamat daripada sampai kepada mereka dan menyerang lokasi yang sama sekali lagi selepas ketibaan mereka merupakan "jenayah perang yang jelas."
Beliau menambah serangan ke atas wartawan di selatan Lubnan semasa mereka menjalankan tugas profesional mereka bukan lagi insiden terpencil tetapi telah menjadi "corak yang didokumenkan" yang melanggar undang-undang dan norma antarabangsa.
"Lubnan akan berusaha keras untuk membawa jenayah ini di hadapan badan antarabangsa yang berkaitan," katanya.
Menurut Anadolu Ajansi, Faraj yang mengalami kecederaan diselamatkan dan dipindahkan ke hospital serta dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan kepala selain patah kaki.
Lebih 2,200 orang telah terbunuh dan lebih sejuta kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel yang meluas ke atas Lubnan sejak 2 Mac, sejurus bermulanya perang Iran.
Serangan berterusan walaupun gencatan senjata 10 hari, dengan Amerika Syarikat sebagai pengantara, dipersetujui pada 16 April.








