SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan Selangor terus memperkukuh usaha menangani isu kemiskinan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, negeri itu berjaya menghapuskan kemiskinan tegar pada 2024, selain mencatat penurunan kadar kemiskinan mutlak kepada 0.9 peratus berbanding 1.5 peratus pada 2022.
"Kita masih perlu melihat secara lebih serius isu kemiskinan relatif dengan bingkisan ataupun bingkas tambahan dan beberapa projek lain.
"Misalnya pada tahun 2022, kemiskinan relatif di Selangor berada pada kadar 14.2 peratus dan telah turun kepada 8.5 peratus pada tahun 2024," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Showcase Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan sasaran kadar kemiskinan mutlak bagi 2025 adalah 0.7 peratus, namun data rasmi masih belum diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut beliau, RS-2 akan memberi fokus kepada dasar pekerjaan, penilaian semula keberkesanan bantuan kebajikan serta pelaksanaan dasar pemisah (exit policy) yang lebih aktif.
“Justeru, terdapat keperluan untuk meningkatkan sistem perkhidmatan serta kualiti kehidupan rakyat,” katanya.










