Iran tahan dua kapal di Selat Hormuz

22 Apr 2026, 2:11 PM
Iran tahan dua kapal di Selat Hormuz

ISTANBUL, 22 APRIL: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menyatakan pasukan tenteranya telah memintas dua kapal di Selat Hormuz pada Rabu atas dakwaan melakukan pelanggaran, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Tentera Laut IRGC berkata kapal tersebut -- yang dikenal pasti sebagai MSC Francesca, yang disifatkan sebagai "mempunyai kaitan dengan Israel", dan Epaminodes -- telah dihentikan kerana pelanggaran berulang, termasuk beroperasi tanpa kebenaran dan didakwa mengganggu sistem navigasi.

Pasukan itu menyatakan bahawa kapal berkenaan cuba keluar dari selat tersebut secara "sembunyi" dan telah dipintas berdasarkan pemantauan perisikan.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua kapal dibawa ke perairan wilayah Iran untuk pemeriksaan kargo dan dokumentasi.

Tentera Laut IRGC berkata ia terus memantau trafik maritim di laluan air tersebut dan memberi amaran bahawa sebarang tindakan yang melanggar peraturan navigasi Iran atau mengancam keselamatan maritim akan berhadapan dengan "tindakan tegas dan undang-undang".

Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) awal Rabu menyatakan sebuah kapal kargo telah ditembak berhampiran pantai Iran di Selat Hormuz, menandakan insiden kedua yang dilaporkan pada hari itu.

Agensi tersebut menyatakan sebuah kapal ditembak kira-kira 8 batu nautika di barat pantai Iran dan kemudiannya berhenti, walaupun tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam satu lagi insiden, sebuah kapal kontena melaporkan telah didatangi oleh bot bersenjata yang dikaitkan dengan IRGC berhampiran selat tersebut.

UKMTO memaklumkan ia telah menerima puluhan laporan mengenai serangan dan aktiviti mencurigakan yang menjejaskan kapal di rantau itu sejak akhir Februari.

Ketegangan kekal tinggi sejak meletusnya perang antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Feb.

Gencatan senjata selama dua minggu diumumkan pada 8 April, dan AS serta Iran mengadakan rundingan terus yang jarang berlaku di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada 11-12 April, namun rundingan tersebut berakhir tanpa sebarang persetujuan.

Iran melonggarkan sekatan di Selat Hormuz untuk seketika sebelum mengenakan semula kawalan di tengah-tengah pertikaian berterusan mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan sekatan.

Pada Selasa, Presiden AS Donald Trump melanjutkan gencatan senjata dengan Iran untuk tempoh yang tidak ditetapkan, sehari sebelum tempoh gencatan itu sepatutnya berakhir.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.