KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Sebarang keputusan mengenai penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, akan diketahui selepas mesyuarat jawatankuasa khas temasya itu yang dijangka akan diadakan pada 30 April.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata ketika ini, beliau masih menunggu surat pemakluman serta maklum balas mengenai cadangan penangguhan SUKMA Selangor 2026 daripada tuan rumah.
“Apa-apa keputusan melibatkan SUKMA, perlu dibuat secara kolektif dan bersama. Bukan sahaja Kementerian Belia dan Sukan, ya, tetapi melibatkan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, exco semua negeri dalam Malaysia, melibatkan Majlis Sukan Negara, Majlis Sukan Negeri, OCM dan juga badan-badan lain untuk kita membuat keputusan secara bersama.
“Insya-Allah, kalau tak ada halangan mungkin pada 30 April ini kita sama-sama membincangkan langkah ke hadapan, apakah perkara yang wajar untuk kita ambil kira (penganjuran SUKMA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Banggunan Pusat Prestasi Tinggi dan Dokumen Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MYTP), di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.
Pada Isnin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penganjuran SUKMA Selangor 2026 wajar ditangguhkan susulan krisis bekalan global ketika ini dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan pelancaran Banggunan Pusat Prestasi Tinggi dan MYTP, Dr Mohammed Taufiq berkata dengan kelengkapan fasiliti serta modul yang diperkenalkan itu, dapat membantu persiapan atlet di temasya besar terutamanya ketika menjadi tuan Sukan SEA tahun hadapan.
“Kita lihat bahawa bangunan Pusat Prestasi Tinggi ini bukan sekadar semata-mata bangunan, tetapi ia dipenuhi dengan teknologi yang tinggi untuk kita memastikan pembangunan atlet dan juga pembangunan sukan negara kita berada dalam landasan yang betul dan baik.
“Kita juga menjadikan dokumen MYTP ini sebagai satu pegangan ataupun modul, dokumen kita untuk memastikan pembangunan atlet itu sendiri,” katanya.








