SHAH ALAM, 21 APRIL: Usaha mitigasi banjir kekal menjadi keutamaan Kerajaan Selangor dalam menangani isu yang berlarutan sejak sekian lama, kata EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim.
Beliau berkata Kerajaan Negeri memandang serius kebimbangan yang disuarakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung pengurusan banjir dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir, termasuk berjaya menyelesaikan beberapa kawasan 'hotspot' di seluruh Selangor.

“Namun, masih terdapat beberapa cabaran di peringkat pelaksanaan di lapangan, dan kita sedang mengambil tindakan segera untuk menanganinya secepat mungkin,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui pada program Tautan Muhibah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, semalam.
Semalam, ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15, Sultan Sharafuddin menzahirkan kekecewaan terhadap masalah banjir yang masih berulang di negeri ini walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini.
Suee Lim berkata isu banjir kekal menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dan akan terus diberi keutamaan, dengan pihak berkuasa tempatan mempertingkatkan sistem perparitan melalui pemantauan serta penyelenggaraan berkala bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri telah menambah peruntukan bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan longkang.
“Usaha mitigasi banjir turut disokong melalui projek infrastruktur dan penggunaan teknologi, dengan penglibatan aktif Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya sambil menambah beberapa projek mitigasi banjir sedang giat dilaksanakan.








