SHAH ALAM, 22 APRIL: Tindakan berhemah Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu tapak rumah ibadah khususnya kuil, berjaya memastikan keharmonian antara kaum terus terpelihara.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata Kerajaan Negeri dilihat konsisten menyelesaikan isu secara berperingkat, terutamanya menerusi mekanisme seperti Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor yang konsisten menyelesaikan isu ini secara berperingkat melalui mekanisme seperti LIMAS, ada kes yang diselesaikan melalui pemberian tanah, dan ada juga kes yang tidak sesuai dan perlu dipindahkan atau dirobohkan
“Pendekatan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri tidak mengambil jalan mudah tetapi mengambil pendekatan yang seimbang dan berasaskan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Sebelum ini, Wei Kiat pernah mengambil inisiatif menyelesaikan kemelut membabitkan pihak Kuil Sri Uchimalai Muniswaran di Taman Rawang Perdana, yang didakwa dibina secara tidak sah di atas tanah milik Yayasan Kubra.
Wei Kiat dilapor sudah memulakan usaha tersebut sejak 2022 menerusi rundingan antara kedua-dua pihak bagi memastikan pertikaian itu dapat diselesaikan secara harmoni.
Dalam pada itu, Wei Kiat menyifatkan usaha Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah banjir yang kerap berulang di lokasi tertentu masih belum mencukupi.
Menurutnya, Kerajaan Negeri perlu melihat realiti kewangan semasa serta mengadakan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan bencana banjir dapat ditangani secara menyeluruh.
“Isu ini bukan lagi isu tempatan, ia adalah cabaran nasional dalam menghadapi perubahan iklim. Jika kita benar-benar serius untuk melindungi rakyat, kita perlu merancang lebih awal dan melabur lebih besar demi memastikan Selangor benar-benar bersedia menghadapi realiti baharu ini,” katanya.
Isnin lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kekecewaan terhadap masalah banjir yang masih berulang di Selangor walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini.








