Kerja alih patung kuil berjalan tertib, tiada pertikaian - Yayasan Kubra

25 Feb 2026, 8:06 AM
Kerja alih patung kuil berjalan tertib, tiada pertikaian - Yayasan Kubra

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerja pengalihan patung berhala di sebuah kuil yang dibina tanpa kebenaran di Rawang Perdana awal pagi tadi dilaporkan berjalan lancar dan tertib tanpa sebarang pertikaian.

Pemegang amanah Yayasan Kubra, Ismail Mina, berkata proses itu dilaksanakan sepenuhnya oleh jawatankuasa Kuil Sri Uchimalai Muniswaran bersama wakil Malaysia Hindu Sangam (MHS) antara jam 12 tengah malam hingga kira-kira jam 2 pagi.

“Patung itu diuruskan oleh mereka sendiri, tidak ada sedikit pun kekecohan. Mereka datang dan selesaikan sendiri. Semuanya tertib, tidak ada bertengkar langsung, semuanya berjalan lancar.

“Kita berada di situ untuk memantau ketika kerja pengalihan dijalankan, tetapi tidak berlaku sebarang pertengkaran seperti yang digambarkan di media sosial,” katanya kepada Media Selangor.

Ismail menjelaskan kerja pembersihan tapak dibuat atas kesedaran jawatankuasa kuil yang sebelum ini berjanji untuk mengosongkan tanah milik Yayasan Kubra dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (IPD), selepas pihak jawatankuasa kuil mengakui kesilapan menceroboh tanah berkenaan.

“Ketika di IPD Gombak, ada perjanjian antara kami. Mereka mengaku silap kerana memasuki tanah orang dan memohon tempoh penangguhan. Jadi kedua-dua pihak bersetuju memberi masa dua minggu.

“Kami juga tidak ke lokasi sepanjang tempoh itu kerana menghormati nasihat polis yang tidak membenarkan kami berada di tapak berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Yayasan Kubra menerima kunjungan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan serta Pengerusi MHS, Datuk Suresh Rao, yang hadir meninjau keadaan tapak hari ini.

Katanya, kedua-dua pihak berpuas hati selepas mendengar penjelasan daripada wakil yayasan dan berpandangan kemelut tersebut telah diselesaikan secara baik.

“Kita akan memulakan kerja pembersihan sisa struktur di tapak ini bermula jam 5 petang. Selepas itu, saya jangka projek pembinaan rumah asnaf dapat diteruskan dalam tempoh setahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan kerja pengalihan empat patung berhala di kuil berkenaan selesai dilaksanakan awal pagi tadi.

Menurutnya, proses pemindahan membabitkan 10 penganut dan wakil pengurusan kuil bermula jam 9.30 malam dan berakhir pada jam 4.12 pagi.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar. Foto BERNAMA

“Proses pemindahan berhala dan pembersihan tapak yang dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlangsung aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Pemilik tanah juga telah memulakan kerja pembersihan tapak sejurus segala urusan pemindahan selesai dilaksanakan oleh pihak pengurusan kuil,” katanya dalam satu kenyataan.

Shazeli turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan berbaur 3R (agama, bangsa dan diraja) yang boleh mencetuskan kegusaran awam, sambil menegaskan polis akan terus memantau penularan maklumat di media sosial.

Kuil berkenaan yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Yayasan Kubra sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.

Difahamkan, tanah seluas tiga ekar itu telah diceroboh sejak 2018, sekali gus menyebabkan projek pembinaan rumah asnaf oleh yayasan berkenaan tertangguh sejak beberapa tahun lalu.