Kerajaan pertimbang guna biodiesel tangani krisis tenaga global

14 Apr 2026, 3:02 PM
Kerajaan pertimbang guna biodiesel tangani krisis tenaga global
Kerajaan pertimbang guna biodiesel tangani krisis tenaga global
Kerajaan pertimbang guna biodiesel tangani krisis tenaga global

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penggunaan biodiesel sebagai langkah praktikal bagi menangani krisis tenaga global yang kian meruncing dan dijangka berpanjangan.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang menetapkan hala tuju bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam tempoh jangka sederhana dan panjang, usaha dipercepat untuk beralih kepada sumber tenaga boleh baharu sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu.

"Biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada. Pendekatan ini membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya.

"Dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, langkah ini bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa, tetapi membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam masa sama beliau berkata, kerajaan turut memberi keutamaan kepada usaha menjamin bekalan tenaga dan barangan asas agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas.

Langkah berkenaan digerakkan melalui peranan PETRONAS serta perancangan awal bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dalam tempoh akan datang.

Selain itu, tindakan menampan kenaikan kos turut diperkukuh melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu.

"Kerajaan juga meningkatkan pengurusan permintaan tenaga melalui kecekapan penggunaan termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi penjawat awam.

"Pada masa sama, operasi penguatkuasaan seperti Op Tiris dipergiat bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.