SHAH ALAM, 21 APRIL: Seorang pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM300 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa selepas mengaku bersalah mencuri barangan keperluan harian di sebuah pasar raya, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Rashid Mohd Noh, 44, yang juga bapa kepada dua anak dikenakan hukuman itu selepas pengakuannya direkodkan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 18 April lalu, selain berdepan tambahan tujuh hari penjara sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri 20 barangan antaranya sardin, tepung serbaguna, pencuci pinggan mangkuk, sabun mandian, penyegar udara dan pencuci muka berjumlah RM404.22 di sebuah pasar raya di Taman Maluri pada jam 8.10 malam, 18 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhana Mohd Poad mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Soosai Raj merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang singkat.
“Dia tidak mampu untuk membayar denda dan menanggung dua anak yang masih bersekolah," katanya.








