Polis tumpas sindiket dadah di Lembah Klang, sita harta RM14.15 juta

21 Apr 2026, 9:50 AM
Polis tumpas sindiket dadah di Lembah Klang, sita harta RM14.15 juta
Polis tumpas sindiket dadah di Lembah Klang, sita harta RM14.15 juta

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang menerusi “Ops Empis” dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan harta mencecah RM14.15 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam operasi pada Khamis lepas, seramai 19 individu berusia antara 24 hingga 48 tahun terdiri daripada 12 lelaki tempatan, lima wanita tempatan serta dua wanita warga China ditahan.

Beliau berkata menerusi siri serbuan itu, polis membongkar stor penyimpanan dan tempat memproses dadah di sebuah apartmen di Taman Wahyu serta sebuah rumah di Kepong.

“Hasil keseluruhan pemeriksaan menemukan ketamin seberat 31.8 kilogram (kg), erimin 5 (4.2 kg), pil ekstasi (0.89 kg) dan serbuk MDMA (6.5 kg) yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hussein berkata siasatan mendapati sindiket itu mula aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan unit apartmen sebagai pusat operasi sebelum dadah diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata setiap ahli sindiket mempunyai peranan khusus termasuk suspek ke-12 yang merupakan ketua sindiket, manakala ahli lain bertindak sebagai pembantu, penjaga stor serta penghantar.

“Kesemua suspek direman seminggu bermula Jumaat lepas bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan tiga daripadanya didapati positif dadah manakala lima lagi mempunyai rekod jenayah lampau

“Sebanyak tujuh suspek turut diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala lapan lagi dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Hussein berkata polis turut menyita harta bernilai RM11.05 juta mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 merangkumi 18 kenderaan termasuk tiga kereta mewah iaitu Rolls-Royce Cullinan Black Badge, Porsche Taycan 4S dan Mercedes-AMG GLA35.

“Turut disita 27 jenis barang kemas seberat 1.66 kg, tiga keping jongkong emas seberat 2.1 gram, lapan jam tangan berjenama mewah, sebuah beg tangan berjenama serta sebuah komputer riba,” katanya.

Beliau berkata wang tunai pelbagai mata wang turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.9 juta serta RM400,000 dalam mata wang asing.

“Rampasan melibatkan RM4.5 juta, USD18,420, GBP3,700, 1,140 euro, HKD377,600, 11,000 yen (Jepun), 100,000 won (Korea), 40 juta dong (Vietnam), 83 juta rupiah (Indonesia), 69,000 peso (Filipina), 273,500 baht (Thailand) dan 24,500 yuan (China),” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.